Saturday, February 21, 2009

Pemuda PKR mahu Elizabeth Wong kekal Exco, ADUN

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) menyatakan sokongan kepada Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dengan menggesa agar wakil rakyat itu tidak meletakkan jawatan ekoran kontroversi melibatkan diri beliau sejak minggu lalu.

"Berkenaan dengan isu yang melibatkan Elizabeth ini, beliau tidak perlu meletak jawatan atas beberapa faktor. Pertamanya beliau bukan memperlakukan adegan lucah sebaliknya gambar beliau diambil secara curi dan tanpa kesedaran beliau. Keduanya, kehidupan peribadi beliau adalah satu perkara yang perlu dihormati dan sebarang usaha pencabulan hak individu beliau adalah sesuatu yang tidak bermoral," Ramlan Roes, Exco AMK.

Beliau yang juga Ketua Penerangan AMK Negeri Sembilan berkata, pihaknya memandang serius akan perbandingan yang cuba dibuat oleh pihak TV3 dalam Buletin Utama 17 Januari 2009 dengan mengaitkan kes Vijandran, Chua Soi Lek, V.K. Lingam dan sebagainya dengan kontroversi yang melibatkan Elizabeth ini.

Ianya benar-benar berniat jahat kerana kes-kes tersebut semuanya melibatkan perlakuan moral individu tersebut yang jelas salah di sisi agama dan juga tatasusila masyarakat.

Demikian juga dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Ketua Pembangkang BN Selangor, Dato' Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang cuba memesongkan fakta yang berlaku ke atas bekas Menteri Kesihatan dengan Elizabeth, kata beliau.

Katanya, beliau perlu maklum bahawa apa yang berlaku kepada bekas Menteri Kesihatan adalah sesuatu yang berbeza memandangkan pendedahan melibatkan bekas Menteri terbabit adalah merupakan skandal seks.

"Sedangkan apa yang berlaku ke atas Elizabeth adalah merupakan satu penganiayaan yang dilakukan ke atas beliau tanpa beliau sedar. Tindakan Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan adalah tindakan terpuji kerana meletakkan parti di depan melebihi hal peribadi. Tetapi AMK percaya bahawa tidak ada keperluan bagi Elizabeth untuk mengundurkan diri kerana beliau tidak bersalah atas soal isu ini melibatkan peribadi beliau," kata Ramlan.

Katanya, sokongan rakyat jelas terbukti di Bukit Lanjan dan seluruh Malaysia terhadap Elizabeth, malah kebanyakan organisasi pertubuhan dan sayap wanita parti-parti politik termasuklah di kalangan parti komponen BN seperti MCA sendiri.

"AMK berpendapat bahawa Elizabeth perlu meneruskan tugas beliau seperti biasa dan terus berkhidmat kerana rakyat memerlukan beliau dan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang 11 bulan beliau menjadi ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor," katanya.

Polis: Kes gambar Elizabeth bukan perangkap

Polis telah menerima dua keping gambar, yang didakwa gambar separuh bogel Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, dalam bentuk cakera padat.

Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis juga telah menerima kertas siasatan penuh daripada polis Selangor semalam.

Selain itu, beliau meminta pihak media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menokok tambah cerita dalam kes ini.

"Pihak polis tidak mahu hal-hal peribadi pengadu dan mana-mana pihak dispekulasikan kerana ia akan mengganggu proses siasatan yang sedang dibuat dan demi keadilan semua pihak," kata beliau di sini semalam.

Malah polis menolak andaian rakaman gambar separuh bogel itu sebagai satu perangkap bagi menjatuhkan ahli politik itu. Sebaliknya siasatan polis setakat ini mendapati insiden itu dipercayai dirakamkan oleh individu yang dikenali mangsa sendiri.

"Siasatan kita merangkumi semua sudut termasuk motif rakaman dan penyebaran gambar berkenaan serta siapakah dalang yang terlibat. Sama ada ia berunsur untuk menjatuhkan individu itu juga akan akan siasat.

"Bagaimanapun, setakat ini kita percaya ia bukannya perangkap yang dirancang oleh seseorang seperti yang didakwa oleh pihak tertentu," kata Muhammad Sabtu.

Sebelum ini, ada pihak mendakwa Barisan Nasional (BN) dan beberapa pihak lain terlibat dalam penyebaran gambar separuh bogel itu. Beliau turut menafikan laporan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa polis telah menahan dua suspek yang terlibat di dalam kes ini.

Muhammad Sabtu berkata, polis masih gagal menghubungi bekas teman lelaki Wong bagi diambil keterangan justeru lelaki tersebut diminta untuk tampil dalam kadar segera bagi menjernihkan keadaan.

"Kita mahu beliau tampil dalam kadar segera dan beri keterangan berhubung kes ini. Tetapi jika beliau enggan tampil, kita mungkin bertindak memburu beliau termasuk bekerjasama dengan Interpol," katanya.

Beliau turut meminta media tidak membuat sebarang spekulasi dengan menokok tambah bahan yang hanya akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

"Demi keadilan semua pihak, media diminta jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh merumitkan lagi keadaan lagi-lagi jika tidak mendapat pengesahan dari kami sendiri," katanya.

Katanya, masa dan ruang perlu diberikan kepada pihak polis dalam menjalankan dan mempersiap siasatan secara teratur dan sempurna.

Azmin: Elizabeth belum hantar surat letak jawatan

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menegaskan, kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan masih belum kosong kerana wakil rakyatnya, Elizabeth Wong masih belum meletakkan jawatan.

"Isu akan adanya pilihan raya tidak berbangkit kerana Wong belum menghantar surat letak jawatan, sebaliknya hanya menawarkan diri untuk berbuat demikian.

"Suruhanjaya Pilihan Raya hanya boleh mengadakaan pilihan raya kecil apabila wujudnya kekosongan kerusi sedangkan Speaker belum mengeluarkan sebarang surat mengenai perkara itu," katanya selepas menghadiri Retreat ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan di Selangor di sini hari ini.

Kelmarin, Wong dalam satu kenyataan selepas berlepas ke luar negara menegaskan beliau akan tetap meletakkan kesemua jawatan yang disandangnya.

Menurut Azmin, parti itu tetap menghormati keputusan ADUN terbabit, namun mereka perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah terlebih dahulu.

"Sebagai sebuah kerajaan negeri Menteri Besar bertanggungjawab untuk mendapatkan nasihat daripada Tuanku. Selepas itu barulah parti akan duduk berbincang untuk tindakan selanjutnya. Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi sehinggalah Menteri Besar membuat keputusan," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah PKR masih berpendapat isu penyebaran foto separuh bogel Wong bukan bermotifkan politik, Azmin menyangkal kenyataan tersebut.

"Kita masih lagi tegas dan percaya ini merupakan tindakan jahat dan terancang Umno dan Barisan Nasional untuk gugat kerajaan Pakatan di Selangor," katanya.

Ditanya adakah benar Azmin mengenali teman lelaki Wong yang dikenali sebagai Hilmi Malek secara peribadi beliau berkata:

"Perkara ini spekulasi sahaja. Saya sebagai pemimpin parti saya berkawan dengan semua orang, saya berkawan dengan ahli dan pemimpin Umno. Adakah ini isunya? Oleh kerana kes ini sedang disiasat oleh pihak polis jadi kami menyerahkannya kepada mereka siasat dengan telus dan adil."

Soal moral wakil rakyat tidak boleh diletak ke tepi

Satu lagi berita mengejutkan negara apabila seorang ahli politik tempatan terpaksa melepaskan jawatan kerana masalah moral. Ekoran kesediaan Elizabeth Wong meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, bermakna satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan.

Dua pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri - Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Lanjan, Selangor perlu diadakan kerana kedua-dua wakil rakyat PKR itu telah meletakkan jawatan akibat 'masalah peribadi' masing-masing. Kejadian ini bukanlah sesuatu yang baru dalam politik negara. Beberapa pemimpin terdahulu termasuk dari Barisan Nasional juga pernah dikaitkan dengan skandal seks sehingga karier politik mereka terjejas.

Dalam suasana baru politik tanah air, penyebaran gambar bogel atau video di dalam Internet mengenai hubungan seks ahli politik dengan pasangannya boleh dianggap satu bentuk pencabulan maruah dan pelanggaran ruang peribadi.

Tetapi daripada sudut nilai moral, agama dan masyarakat timur, kita masih belum dapat menerimanya. Oleh itu adalah wajar ahli politik yang 'terpalit' dengan lumpur skandal moral begini harus melepaskan jawatan yang disandangnya. Mereka tidak layak memimpin rakyat jika nilai moral mereka dipertikaikan.

Seseorang pemimpin yang menjadi wakil rakyat perlu menunjukkan contoh terbaik kepada orang ramai. Selain soal integriti, nilai moral yang tinggi juga adalah antara peranan yang perlu dimainkan oleh wakil rakyat.

Mereka harus sedar bahawa ahli politik tidak lagi mempunyai kehidupan peribadi sebaik-baik sahaja bergiat dalam bidang politik yang penuh dengan ranjau. Sebab itu ahli politik perlu menjaga kehidupan peribadi dan tidak wajar ia menjadi tontonan masyarakat umum.

Kita memahami ahli politik juga adalah manusia biasa yang melakukan kesilapan. Jadi ada penyokong dan golongan yang bersimpati kepada ahli politik yang terpalit dengan insiden moral ini berpendapat kesilapan yang dilakukan itu boleh dimaafkan.

Bagi mereka, apa yang penting ialah keupayaan, kebolehan dan komitmennya untuk memimpin. Perkara-perkara peribadi yang dilakukan di luar tugasnya tolak ke tepi. Hak wakil rakyat sebagai individu jangan diganggu.

Tetapi, kita percaya dalam mana-mana agama selain Islam, perbuatan yang terlarang tetap salah tanpa mengira status individu. Ia tetap tidak boleh diterima. Dalam politik, nama baik parti perlu dijaga. Begitu juga, parti tidak mahu sesuatu isu berkaitan dengan skandal seks dijadikan modal untuk memburukkan parti oleh pihak lawan ataupun seteru politik dalam parti mereka sendiri.

Paling utama, jangan hilangkan kepercayaan dan harapan rakyat yang mengharapkan integriti penuh daripada wakil rakyat yang mereka pilih dalam pilihan raya.

Masyarakat pengundi kita sudah celik dan pintar memilih wakil rakyat mereka. Mereka mampu membuat saringan yang lebih teliti, rapi dan ketat. Selain hubungan politik, sosial dan undang-undang, soal moral pun sudah menjadi satu isu yang tidak boleh ditolak ke tepi sekarang.

Moral menjadi satu bentuk tapisan baru dalam menentukan pemilihan wakil-wakil rakyat pasca peletakan jawatan Dr. Chua Soi Lek. Selepas kes Soi Lek, keperibadian ahli-ahli politik dipantau oleh pucuk pimpinan parti dan orang ramai. Ini bermakna, kualiti seperti kerja kuat, mempunyai hubungan baik dengan masyarakat dan setia kepada parti belum cukup dalam politik era sekarang. - Utusan Malaysia

Isu Bogel Eli....buka ruang kepada Pilihanraya Kecil Bukit Lanjan

`Kau menang bukan beerti kau benar, kau kalah bukan beerti kau salah. Menang dan kalah bukan sempadan untuk benar dan salah. Yang benar tetap benar walau dipertikai, yang salah tetap salah walaupun diselindungkan....’

Pembuka bicara kepada persoalan penyebaran gambar bogel ADUN Bukit Lanjan yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.Dulu, aku tinggal di Damansara Damai (DD). DD ini terletak dalam kawasan DUN Bukit Lanjan yang diwakili Elizabeth Wong.

Ketika kempen PRU lalu, beliau sering meletakkan dirinya sebagai pejuang rakyat dan bebas dari sebarang isu moral.Tapi, apa dah jadi hari ini. Memang benar Elizabeth Wong tak bersalah, bukannya dia rela pun dirinya dibogelkan, diambil gambar dan kini disebar kononnya secara meluas dalam internet.

Tapi sedikit sebanyak, apa yang dia buat sebelum tidur berbogel, adakah dia main congkak sebelum tidur. Tentu ada `sesuatu yang berlaku’ sebelum dia tidur secara berbogel. Sebagai seorang yang masih bujang, melakukan `sesuatu’ itu memanglah suatu perkara yang tidak baik, yang tidak harus menjadi contoh kepada masyarakat.

Memang dia bukan beragama Islam, dia boleh buat apa sahaja. Tetapi sebagai seorang pemimpin kepada sebuah parti politik yang selama menampilkan diri sebagai sebuah parti suci murni, ia tidak seharusnya dihalalkan.Apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa pemimpin Pakatan Rakyat khususnya dari PKR sedang menghadapi krisis moral yang teruk dan menjadi contoh yang tidak baik kepada masyarakat.

Sehubungan dengan itu, kepimpinan tertinggi PKR harus mengambil tindakan segera terhadap Elizabeth Wong sebagai bukti perjuangan mereka yang bersih sebagaimana yang mereka war-warkan selama ini.Mereka sering menampilkan diri sebagai ahli dan sebuah parti politik bersih dari rasuah, bersih dari isu-isu moral dan telus.

Kini masanya untuk mereka membuktikan segala dakwaan mereka selama ini benar-benar ikhlas, bukannya sandiwara politik semata-mata untuk mendapatkan undi rakyat.Mereka harus mencontohi sikap yang diambil oleh kepimpinan BN berhubung isu penyebaran video lucah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mengambil tindakan drastik melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti MCA berkuatkuasa.

Persoalan salah dan tidak tindakan penyebaran gambar bogel ini terserah kepada kebijaksaan pihak berkuasa, namun apa yang kita kesalkan ialah perlakuan ADUN terbabit.Akhir bicara, aku tak heran kalau dalam masa terdekat ini, ada pihak-pihak dari Pakatan Rakyat akan melaung-laungkan, menjerit-jerit mengatakan ia semua sandiwara BN dan UMNO.

Ia semua kerja jahat UMNO dan BN. Ini semua bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan `Pakatan Rakyat @ Rapuh’ di Selangor. Kita tunggu dan lihat. Sebelum aku mengundurkan diri,terus terang aku katakan bahawa gambar bogel Elizabeth ini, aku tak jumpa pun dalam internet. Adakah ia semata-mata untuk menimbulkan isu baru, untuk menutup kelemahan Pakatan Rapuh sejak kebelakangan ini.

Tepuk dada, tanyalah hati.